Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pencapaian itu direkodkan oleh kajian Kementerian Pendidikan pada 2014 sekali gus membuktikan kualiti siswazah universiti itu berada pada tahap yang membanggakan.

“Baki 18 peratus itu disebabkan sesetengah siswazah memilih untuk tidak bekerja seperti kaum wanita yang membuat percaturan tentang kos perbelanjaan dan jumlah gaji. Contohnya, kos menghantar tiga anak ke taska sebanyak RM1,200 dilihat tidak berbaloi dengan gaji yang diperoleh.

 


“Terdapat juga siswazah yang memilih pekerjaan dan berharap mendapat kerjaya dalam bidang yang dipelajari. Mereka ini perlu bersifat fleksibel supaya peluang itu muncul dengan lebih cepat selari dengan kemahiran kerjaya,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Kerjaya, Keusahawanan dan Kebolehpasaran Siswazah di Serdang, dekat sini hari ini.

 


Program anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tahun akhir sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu kebolehpasaran siswazah.


Sementara itu, Mohammad Shatar menyasarkan 83 peratus siswazah UPM mendapat pekerjaan pada tahun ini dan perkara itu bukanlah mustahil memandangkan terdapat 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada ekspo kerjaya berkenaan.

 


Katanya, bilangan syarikat yang hadir menyertai ekspo tersebut juga meningkat kepada 60 majikan berbanding 50 pada tahun lalu.


Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya turut menyasarkan 60 siswazah mempunyai syarikat sendiri selepas sasaran pada tahun lalu berjaya dicapai apabila sebanyak 52 siswazah menubuhkan syarikat selepas menamatkan pengajian.